BAHAYA LAMPIN PAKAI BUANG
Persatuan
Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan ibu bapa supaya tidak memakaikan bayi mereka dengan
lampin pakai buang kerana ia mengandungi bahan
kimia beracun yang boleh memudaratkan kesihatan bayi.
Ini memandangkan bayi sedang membentuk sistem imun
dan mengalami pertumbuhan organ dan tubuh yang sihat sepanjang hayat mereka. Pendedahan
kepada bahan kimia beracun boleh membantutkan perkembangan bayi dan menimbulkan
masalah kesihatan dalam jangka panjang.
Kulit bayi lebih nipis dan cenderung menerima kesan
daripada bahan kimia yang mudah diserap masuk ke dalam tubuh.
Lampin pakai buang diperbuat daripada bahan-bahan
tiruan seperti polyethylene film bagi pelapik perlindungan plastik lampin
itu, polyester (bagi lapisan atas lampin yang poros), polypropylene (bagi pelapik lampin dan pita
yang digunakan bagi mengetatkan lampin, atau untuk lapisan lampin yang paling
atas), pulp fluff daripada pulpa kayu yang diawet
dengan klorin (yang menghasilkan dioksin, bahan penyebab kanser sebagai hasil
sampingan), sodium polyacrylate (gel bertoksik yang kuat daya
serapannya) untuk lapisan dalam lampin, minyak dan resin yang berpotensi
menimbulkan alergi (sebagai gam yang mengikat lampin), wangian yang
memudaratkan dan bahan-bahan kimia lain yang berbahaya seperti tributylin (salah satu bahan paling beracun
pernah dihasilkan).
Sebahagian daripada bahan-bahan kimia tersebut boleh
menimbulkan masalah kesihatan kepada bayi seperti ruam yang menyakitkan dan
asma, serta masalah ketidaksuburan dan kanser apabila dewasa kelak.
Pengeluar lampin pakai buang sering mendakwa produk
mereka boleh memastikan bayi berada dalam keadaan kering berjam-jam lamanya.
Ini berikutan penggunaan bahan kimia sodium polyacrylate, sejenis gel yang terdapat dalam
bahagian tengah lampin yang menjauhkan air daripada kulit bayi. Ini dimasukkan
ke dalam lampin dalam bentuk serbuk berbiji yang bertukar menjadi gel apabila
basah. Juga dikenali sebagai crystal polimer, sodium
polyacrylate
boleh menyerap 200-300 kali beratnya dalam air, dan membendungnya dalam bentuk
gel bergetah.
Penggunaan sodium polyacrylate dalam lampin pakai buang
memudahkan tugas ibu kerana tidak perlu menukar lampin bayi. Namun begitu ia
menyebabkan bayi ditumbuhi ruam kerana terdedah kepada bahan-bahan kimia yang
diserap, pertumbuhan bakteria dan ammonia daripada air kencing yang terkumpul
dalam lampin. Pada masa yang sama ia juga menarik lembapan (bukan air kencing
saja) daripada kulit bayi yang menggalakkan kegatalan kulit.
Bahan ini dilaporkan boleh menyebabkan radangan
kulit yang teruk, pendarahan daripada tisu-tisu perineum dan scrotal, demam, muntah dan jangkitan staph di kalangan bayi.
SUMBER: UTUSAN PENGGUNA(MAC-APRIL 2007)
http://ibnuabas.blogspot.com/2008/01/bahaya-lampin-pakai-buang.html